Abang Johari jadi orang pertama disuntik vaksin di Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menjadi orang yang pertama di Sarawak disuntik vaksin Covid-19 pada Jumaat ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau akan menjalani prosedur berkenaan di Klinik Kesihatan Petra Jaya.

“Kami mahu menunjukkan kepada rakyat Sarawak bahawa beliau adalah orang yang pertama disuntik vaksin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan ketibaan kumpulan pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech bagi Sarawak di Gudang Raya Airway (DHL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Sarawak hari ini menerima sebanyak 23,400 dos vaksin Pfizer-BioNTech daripada Kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, prosedur vaksinasi akan dimulakan pada Jumaat ini, khusus untuk petugas barisan hadapan di Kuching di Sibu.

Suara Sarawak