KUCHING: Kajian secara terperinci perlu dilakukan sekiranya Sarawak berhasrat untuk memperkenalkan mata wang sendiri memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu di Malaysia.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan perkara berhubung kuasa ke atas mata wang merupakan isu yang rumit dan perlu kajian lebih mendalam.
“Ia adalah isu yang rumit. Tidak tahu kerana itu pandangan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Kita perlu mengkaji secara terperinci.
“Tambahan pula, kita sudah mempunyai mata wang Malaysia jadi Sarawak ikut mata wang tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendapat Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk Sarawak akan memperkenalkan mata wang sendiri memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu di Malaysia.
Sebelum ini, Nanta yang juga merupakan Setiausaha Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata Sarawak mungkin memperkenalkan mata wangnya sendiri jika ekonomi yang kurang memberangsangkan di Malaysia berterusan.
Tambah beliau lagi, jika ekonomi Sarawak baik, manakala ekonomi negara tidak begitu baik kemungkinan Sarawak akan mempunyai mata wang kita sendiri.
“Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak? Ini yang saya cuba tekankan,” katanya memetik laporan akhbar tempatan baru-baru ini.
Nanta bagaimanapun berharap tidak ada pihak pihak yang akan menggelar beliau sebagai pengkhianat susulan langkah untuk memperkenalkan mata wang sendiri untuk Sarawak.
Hadir sama Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil.