MIRI: Sarawak perlu menguasai, mempunyai pengetahuan dan kepakaran berkaitan ilmu falak atau astronomi, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pengetahuan yang baik dalam cabang sains yang merangkumi pemerhatian, pencerapan dan penjelasan mengenai perkara yang berlaku di bumi dan ruang angkasa itu membolehkan mereka memahami perubahan iklim, fenomena alam termasuk pengetahuan digital.
“Ilmu astronomi penting bagi kita untuk memahami bagaimana dunia berfungsi dan ini dipelopori oleh ahli astronomi dan tokoh Islam, Muhammad Ibn Musa al-Khwarizmi.
“Saya melihat bahawa Pusat Falak Miri ini akan menjadi pusat pengetahuan bagi Sarawak untuk melakukan penyelidikan mengenai ruang angkasa,” katanya ketika merasmikan Pusat Falak Miri, di sini, hari ini.
Tambahnya, ilmu astronomi sangat berkait dengan pengetahuan digital termasuk bagaimana perjalanan isyarat dihantar ke angkasa lepas yang juga berdasarkan asas algoritma.
“Bagi Sarawak, saya tekankan kelestarian alam sekitar yang seimbang dengan kehendak manusia kerana apabila tahu peredaran mengenai alam sekitar, kita dapat menjangkakan kejadian alam yang akan berlaku seperti pasang surut yang berkait dengan banjir,” jelasnya.
Ujarnya, pusat pertama diwujudkan di Sarawak itu akan menjadikan pusat penyelidikan dan pendidikan untuk dipromosikan kepada semua pelajar Islam dan bukan Islam di negeri ini terutama berkaitan teknologi dan ruang angkasa.