Abang Johari: “Terima kasih PM,- jangan jerak ”

KUCHING: “Jangan jerak datang ke Sarawak,” kata Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Kepimpinan Masyarakat sempena lawatan kerja dua hari Muhyiddin ke Sarawak, di sini, hari ini.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana sudi datang ke negeri ini, orang Sarawak kata jangan ‘jerak’ (serik).

“Jemputlah datang lagi ke Sarawak dan kita akan meneruskan usaha membangunkan negeri ini bersama,” katanya.

Menurutnya, dalam lawatan kerja dua hari tersebut Muhyiddin sudah mendengar taklimat rancangan kerajaan negeri menuju 2030 dan menemui pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak termasuk penjawat awam dan rakyat yang kurang bernasib baik di Samarahan.

“Malah ketika saya dan Muhyiddin masih ahli pemuda PBB dan UMNO dahulu, kita pernah bersama-sama berkhemah di Batang Ai, Lubok Antu.

“Bermakna, Muhyiddin mengenali negeri ini lebih daripada yang kita tahu dan beliau lebih arif serta memahami senario kita di Sarawak.

“Justeru, saya yakin beliau hendak melindungi apa yang ada di negeri kita ini, tambahan pula Sarawak adalah rumah kedua beliau,” tambahnya.

Suara Sarawak