Abang Mohammad Reduan rangkul juara catur 16 kali

ABANG Mohammad Reduan Sahari meraih gelaran juara catur buat kali ke-16 setelah mendominasi aksi pertandingan ‘Sarawak Closed Chess Champion 2019’.

Dengan kemenangan itu dia membawa pulang ganjaran RM1,000 bersama trofi. Manakala, naib juara disandang oleh Muhammad Zulfaqar dan tempat ketiga menjadi milik Fergus Lim.

Menurut Abang Mohammad Reduan, dia mula menyertai pertandingan tersebut sejak 1994.

“Untuk mengekalkan kejuaraan anda mesti banyak berlatih. Malah kita juga mesti banyak bersabar dan minat yang tinggi dalam permainan ini,” jelasnya.

Katanya, catur adalah sebahagian daripada rutin kehidupan hariannya.

“Saya sering bermain catur dengan komputer atau melalui telefon pintar. Dari situ saya dapat belajar untuk memperbaiki kemahiran,” katanya.

Dia yang juga Presiden Persatuan Catur Sarawak sejak 2015 menjelaskan ‘Sarawak Chess Closed’ ini mula dipertandingkan pada 1981.

“Selain Sarawak Closed kita juga adakan Sarawak Chess Open yang juga diadakan setiap tahun dan tahun ini bakal diadakan pada Disember. “Di samping Sarawak Closed, setiap bulan persatuan kita juga mengadakan pertandingan ‘Rapid’ kepada ahli-ahli yang ingin turut serta,” katanya.

Jelasnya, pertandingan ini memerlukan pemain bermain dalam tempoh 30 minit, dan mereka perlu tangkas.

Anak bongsu yang berasal dari Kuching ini memberi nasihat kepada pemain muda agar sentiasa berlatih.

Kejohanan ke-38 ini telah dianjurkan oleh Persatuan Catur Sarawak bersama Pasar Raya Besar Mydin Petra Jaya.

Sepanjang pertandingan, turut diadakan lintas langsung dari Facebook Persatuan Catur Sarawak bagi memudahkan peminat catur mengikuti perlawanan. Kejohanan selama tiga hari itu disertai 34 peserta yang berusia dalam lingkungan 11 hingga 70 tahun dari seluruh Sarawak.

Turut hadir menyampaikan hadiah ialah wakil pihak Pasar Raya Besar MYDIN Petra Jaya, Sutaghani.