
KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berang apabila terdapat beberapa pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dipercayai cuba mengganggu program atau aktiviti sukan yang dianjurkan kementeriannya.
Beliau berkata, tindakan terbabit menyebabkan beberapa aktiviti sukan yang telah dirancang tergendala, sekali gus merencatkan pembangunan sukan di negeri ini.
Dedahnya, beberapa pegawai KKM dan JBPN seolah-olah terlalu fokus dengan cuba mencari masalah pada setiap kali aktiviti sukan dianjurkan oleh kementeriannya.
“Kita akan buat laporan berhubung perkara ini, saya tidak gembira, kita atur saja program ada saja dia kacau.
“Ini adalah tugas kami (Kementerian Sukan Sarawak), pegawai dalam kementerian sukan dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bertanggungjawab untuk membangunkan sukan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan SSC di Hotel Pullman, di sini semalam.
Karim berkata walaupun Sarawak kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun pihaknya tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mana-mana program yang diadakan.
“Misalnya, apa-apa yang saya lakukan saya akan membuat ujian saringan Covid-19 terhadap diri sendiri terlebih dahulu, kerana kita tidak mahu menjadi dalang implikasi (Covid-19) kepada kementerian lain dan juga orang awam,” katanya.