KUCHING: Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia tanpa perlu kuarantin wajib pada Mac depan dapat mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meningkatkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, saranan yang dikemukakan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu merupakan petanda baik untuk pemulihan cepat pelbagai sektor ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik.
“Sarawak sendiri telah kehilangan berbilion-bilion daripada aliran pendapatan industri pelancongan dan perhotelan sedangkan sektor ini telah menyumbang kepada ekonomi tempatan dan mata pencarian mereka yang bekerja dalam industri hiliran.
“Oleh itu, cadangan pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut baik oleh pemain industri kerana impak positif daripada pembukaan semula sempadan akan meningkatkan usaha pemulihan ekonomi,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian, mengulas mengenai cadangan MPN yang mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib sebagai langkah menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.