Abdullah batal urusan rasmi, tinjau lokasi kebakaran hutan di Sedi

TANJUNG MANIS : Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol membatalkan beberapa urusan rasminya hari ini berikutan bimbang dengan kebakaran hutan di Kampung Sedi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop, meluangkan masa melawat sendiri lokasi kejadian selain meninjau keperluan bagi menangani masalah itu.

Pada masa yang sama, beliau turut berhubung dengan Menteri Utiliti dan Pegawai Daerah untuk memohon bantuan serta kerjasama.

Abdullah juga menghulurkan bantuan bagi meringan beban penduduk terjejas antaranya makanan asas, tuala, tisu basah dan topeng bagi kegunaan pihak bomba dan penyelamat, sukarelawan dan penduduk kampung yang membantu memadam kebakaran tersebut.

Dalam pada itu, kebakaran yang melibatkan kawasan hutan seluas 105 ekar di Sedi dilaporkan terkawal hasil operasi bersepadu yang dilakukan sejak tiga hari lalu.

Abdullah (kanan) bersama pasukan Bomba dan penduduk yang menyertai operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Sedi.

Ketua Kampung Sedi, Abdullah Mus berkata, kebakaran hampir memasuki kawasan kampung semalam namun, berjaya dikawal sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, ia sukar diramal berikutan keadaan cuaca panas dan berangin.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pulau Bruit dan penduduk kampung. Walaupun terkawal, kami masih bimbang kemungkinan berlakunya kebakaran berulang.

Abdullah (tengah) melihat sendiri keadaan kebakaran hutan di Kampung Sedi.

Info kebakaran hutan di Sedi:

• Operasi diketuai oleh PBT Khairul Basri Sulaiman (Ketua Balai Bomba Tanjung Manis dan dibantu oleh PBK II Majidi Tinggal (Peg. Operasi)

•Ia turut dibantu oleh 15 anggota Bomba dari Balai Bomba Tanjung Manis, Daro dan Sibu

•Turut serta tujuh Sukarelawan Bomba Pulau Bruit diketuai oleh Athirah Main

• Kawasan terjejas lebih kurang 105 ekar.

• Menghampiri lebih kurang sembilan buah rumah kampung.

• Turut terjejas ialah kebun dan tanaman buah-buahan.

• Cabaran Bomba ialah tekanan air yang lemah serta pili Bomba yang jauh dari lokasi kebakaran.

. Keadaan bertambah sukar berikutan tiupan angin yang tidak menentu dan tanah gambut yang kering.

• Kawalan dapat dilakukan melalui “Fire Breaker” tapi masih memerlukan pemantauan yang rapi.

• Operasi turut di bantu oleh dua kenderaan jentera termasuk Tanker Air (20 ribu liter)

• Penduduk kampung juga membantu menebas rumput untuk mengelak api daripada terus merebak.

Keadaan terkini kebakaran hutan di Sedi.