Abg Jo berpuas hati Belanjawan 2021

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berpuas hati dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan belanjawan tersebut banyak memberi insentif untuk membantu rakyat yang terjejas oleh Covid-19.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana bajet yang saya nampak agak adil untuk diagih kepada rakyat.

“Setidak-tidaknya ia dapat membantu negara menghadapi cabaran yang agak sukar disebabkan oleh penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Malam Anugerah Kenyalang 2020 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Pada masa sama, Abang Johari juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi peruntukan kepada Sarawak untuk pembangunan infrastruktur berjumlah RM4.5 bilion.

“Ini menunjukkan kerajaan persekutuan membantu kita dalam pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyatakan penghargaan kepada kerajaan persekutuan kerana telah memberi balik peruntukan untuk penyukatan tanah hak adat bumiputera (NCR).

Suara Sarawak