Abu Seman zahir simpati penduduk terjejas kebakaran hutan di Kampung Sedi

PULAU BRUIT: Prihatin terhadap nasib penduduk Sedi, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie, sempat melawat kawasan kebakaran hutan berhampiran kampung itu di sini, semalam.

Beliau meluangkan masa berjumpa pasukan Bomba dan Penyelamat, anggota Pasukan Bomba Sukarela Pulau Bruit dan penduduk kampung yang turut sama memadam kebakaran berkenaan.

“Saya bersimpati dengan penduduk kampung yang terjejas akibat kejadian ini dan berharap mereka bersabar.

“Sehubungan itu, saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dan mudah-mudahan keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol membatalkan program rasmi yang sepatutnya dihadiri beliau kerana bimbang dengan keselamatan penduduk yang terjejas.

Anggota Pasukan Bomba Sukarela Pulau Bruit turut membantu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop sempat berhubung dengan Menteri Utiliti Sarawak dan Pegawai Daerah untuk memohon bantuan serta kerjasama.

Abdullah turut menghulurkan bantuan bagi meringan beban penduduk terjejas antaranya makanan asas, tuala, tisu basah dan topeng bagi kegunaan pihak bomba dan penyelamat, sukarelawan dan penduduk kampung yang membantu memadam kebakaran tersebut.

Kebakaran yang melibatkan kawasan hutan seluas 105 ekar di Sedi dilaporkan terkawal hasil operasi bersepadu yang dilakukan sejak empat hari lalu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengingatkan orang ramai supaya jangan melakukan pembakaran terbuka.

Abu Seman (tiga kanan) berkesempatan bertemu dengan anggota Bomba yang menyertai operasi memadam kebakaran hutan di Sedi.

Suara Sarawak