KUCHING: Lebih 1,000 peserta dan pengunjung memeriahkan sambutan Festival Pertandingan Brarak dan Bipajak Gawai Bisegu yang julung kalinya didadakan di Kampung Segu Bunuk, semalam.
Acara perarakan bermula jam 4 petang berlangsung sempurna biarpun cuaca pada awalnya dalam keadaan hujan, sekali gus merancakkan lagi suasana permulaan pertandingan.

Enam pasukan kejohanan tampil dengan ahli kira-kira lebih 20 orang dalam satu pasukan dari enambuah kampung iaitu Kampung Punau Bunuk, Kampung Sorot, Kampung Sibatuh, Sumur, Bratan dan Segu Bunuk selaku tuan rumah acara.
Perarakan bermula dari pintu masuk Kampung Segu Bunuk dan melintasi kawasan perumahan kampung sehingga rumah panjang tuan rumah dengan jarak perarakan sekitar 1 kilometer.
Upacara perarakan diketuai oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang turut hadir bersama-sama para peserta dan pengunjung dalam meraikan acara serta menyemarakkan suasana hari ketiga sambutan Hari Gawai.
Katanya, program julung kali diadakan itu bertujuan memperingati kebudayaan dan tradisi Hari Gawai khususnya dalam masyarakat Bisegu itu sendiri.
“Kita dapat melihat sendiri sambutan (acara) begitu baik walaupun ianya julung kali diadakan.
“Justeru, usaha untuk meneruskan acara ini pada tahun hadapan akan dilaksanakan dengan lebih meriah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perarakan terbabit, semalam.