Achin hidapi penyakit misteri, mohon bantuan kewangan

SEBUYAU: Hasrat untuk meneruskan pelajaran akhirnya terpaksa dipendam oleh Wan Zulkarnain Wan Roslan (Achin) setelah menghidapi penyakit misteri yang menyebabkan berat badannya susut secara drastik serta tidak mampu lagi bergerak bebas.

Pelajar yang berusia 17 tahun itu dahulunya seorang aktif bersukan kini hanya terlantar di rumah sahaja berikutan tidak dapat berjalan serta sukar untuk berdiri daripada katil.

Menurut bapanya, Wan Roslan Wan Daut 48 tahun, penyakit anaknya diketahui pada awal tahun 2018 setelah Achin sering mengadu sakit serta hilang selera makan secara mendadak.

“Sebelum sakit, Achin merupakan seorang anak yang aktif bersukan dan mempunyai fizikal sihat seperti remaja lain seusia dengannya.

“Namun selepas menghidapi sakit berkenaan, berat badan Achin mulai susut teruk, bahkan untuk bangun daripada tilam tempatnya terlantar sahaja sudah sukar.

LEMAH… Acin yang dahulunya aktif bermain kini bahkan tidak mampu untuk berdiri tegak, gambar Achin bersama ibu dan bapanya

“Kini anak daripada lima adik beradik yang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu hanya berada di rumah dan hampir dua tahun tidak meneruskan persekolahan akibat sakit dialaminya,” katanya.

Tambahnya, Achin pernah dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan namun sakit yang dialaminya belum lagi dapat dikenal pasti.

Roslan turut mendedahkan jarak hospital daripada rumah agak jauh serta tiada pengangkutan tetap untuk ke hospital membuatkannya tidak mampu membuat rawatan secara berkala terhadap Achin.

Terdahulu, Roslan merupakan seorang pekerja buruh kasar yang menyara lima anak lelaki termasuk Achin, manakala isterinya hanya seorang suri rumah tangga.

Susulan daripada itu, orang ramai yang sudi menghulurkan sebarang bantuan boleh merujuk Roslan di alamat Kampung Belakang Pasar Maludam, 94850, Sarawak, atau sumbangan kewangan melalui ibu Achin, Kalsom Kifrawi (1399629000003026) (BSN).

PRIHATIN… Orang kampung disertai guru sekolah rendah menziarah Achin ke rumah

Suara Sarawak