ARTIKEL

ACL: JDT benam BG Pathum United 4-2 pada aksi kedua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 10 kali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mempamerkan taring sebenar selepas menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 pada aksi kedua Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pathum Thani di Bangkok, Thailand, skuad Harimau Selatan berbekalkan misi wajib menang, bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah menerusi sepakan penalti Victor Cardozo pada minit kelima.

Namun, kegembiraan Pathum United dikendalikan Thongchai Sukkoki tidak kekal lama selepas Arif Aiman Hanapi bangkit menyamakan kedudukan buat JDT selang seminit kemudian.

Gerakan satu dua Heberty Fernandes memasuki kawasan kotak penalti, disudahi dengan rembatan Bergson da Silva ke penjuru kanan gol lawan memberikan gol kedua JDT pada minit ke-14.

Bersambung babak kedua, gol ketiga JDT terhasil apabila rembatan padu Bergson dalam kawasan kotak penalti ditampan kurang kemas penjaga gol Pathum, Chatchai Budprom sebelum Juan Muniz  bertindak pantas menyepak masuk bola yang melantun ke dalam gawang pada minit ke-53.

Tersentak dengan gol itu, Pathum United bangkit merapatkan jaringan selepas hantaran silang Chanathip Songkrasin ditanduk kemas Victor selang dua minit kemudian.

Gerakan solo dari luar kawasan kotak penalti Arif Aiman gagal disekat pertahanan lawan kemudian disudahi dengan rembatan leret menembusi gawang gol untuk gol keempat JDT.

Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus JDT berhasil membawa bekalan tiga mata pertama mereka dalam saingan peringkat Kumpulan I itu.

Terdahulu dalam perlawanan kumpulan sama, jaringan tunggal Kim Tae-Hwan sudah cukup membantu juara dua kali dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC meneruskan kecemerlangan menundukkan wakil Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Kawasaki Todoroki.

Kawasaki Frontale kini mendahului Kumpulan I dengan enam mata diikuti JDT dan Ulsan Hyundai masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan tiga mata yang hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Manakala BG Pathum United kekal ketandusan sebarang mata apabila belum berhasil meraih sebarang kemenangan setakat ini.

— BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Enam perlawanan ujian awal sri kandi Sarawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Suffian Ibrahim menegaskan enam perlawanan persahabatan bakal diharungi barisan pemain yang berada dalam skuad bayangan ketika ini. Tiga

BERITA TERBARU

Sedar mahu belajar daripada GPS untuk majukan Sabah

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersedia untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, usaha itu bagi memastikan Sedar

Mi kolo digazet nyadi Pemakai Pesaka Menua

KUCHING: Pemakai ti dikerindu mensia mayuh di Sarawak, mi kolo diatu udah digazet nyadi siti Pemakai Pesaka Menua tauka ‘Makanan Warisan Kebangsaan’. Pekara nya mega

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku