DEBAK: Pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menganggap pembinaan Laluan Utama Kedua sebagai membazir dan tidak memberi banyak manfaat, merupakan sesuatu yang dangkal dan ganjil.
Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, parti itu tidak seperti semasa meraka bersamasama dalam blok kerajaan sebelum ini. “Dahulu, mereka juga yang sering memohon agar banyak infrastruktur jalan di bina bagi kemudahan penduduk luar bndar.
“Namun, kini sebaliknya sedangkan Laluan Utama Kedua akan memberi manfaat besar. “Mungkin benar kata Allahyarham Adenan Satem, ‘ada mata butak, ada telinga tuli’,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Jelas Ahli Majlis Tertinggi PBB itu, pembinaan laluan berkenaan harus diteruskan dan rakyat perlu menyokong penuh dasar dan usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Kerajaan Sarawak.
“Apa yang jelas, Laluan Utama Kedua bakal membuka pembangunan sektor baharu dalam bidang pertanian khususnya tanah NCR penduduk. “Maknanya, golongan bumiputera sudah pasti mendapat manfaat.
“Dakwaan pemimpin PSB itu jelas dilihat sebagai tidak mahu kerajaan membangunkan kawasan luar bandar yang majoriti bumiputera. “Isu pengabaian bekalan air dan elektrik seperti didakwa seolah-olah dibuat secara membuta tuli.
“Abang Johari memperuntukkan dana yang besar bagi meneruskan, menambah baik semua utiliti asas ini… dan ia rancak dilaksanakn di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Justeru, Razi menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pemimpin PSB yang hanya mahu meraih simpati dan sokongan rakyat. Sebagai wakil rakyat luar bandar, beliau katanya, menyokong penuh pelaksanaan projek laluan kedua itu.