Ada yang masih degil, tidak sayang nyawa!

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh mengingatkan penduduk setempat agar tidak leka dalam membendung penyebaran Covid-19.

Beliau berkata demikian hari ini setelah kesal dengan tindakan beberapa pemilik kedai kopi di Jalan Wawasan di sini yang membenarkan pelanggan menikmati makanan di dalam premis ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.

“Saya menerima laporan dari orang awam yang ada melihat beberapa pelanggan sedang menikmati makanan di dalam premis ketika mereka pergi memesan makanan untuk dibungkus di kedai kopi terbabit.

Clarence Ting Ing Horh

“Saya kemudian terus memaklumkan perkara ini kepada polis dan kemudian bertindak terhadap mereka yang melanggar peraturan itu.

“Lihatlah 51 kes positif COVID-19 semalam, saya mendapat tahu semuanya kes yang berlaku di pusat bandar Sibu, bukan daripada Kluster Pasai.

“Sila patuh prosedur operasi standard (SOP) dan jangan berdegil lagi, bukan kerajaan melarang anda untuk makan tetapi tindakan anda menanggalkan pelitup muka di khalayak umum adalah berisiko tinggi untuk dijangkiti virus ini.

“Tolong amalkan SOP, lindungi diri anda agar keluarga anda juga dilindungi,” tegasnya.

Sementara itu, Ting mengingatkan semua kedai kopi hanya menyediakan makanan dan minuman untuk dibungkus sahaja atau bawa pulang ketika pelaksanaan PKP.

Makan atau minum di kedai kopi adalah dilarang sama sekali, katanya, sambil menambah bahawa kerusi dan meja juga tidak boleh dipamerkan di tempat tersebut.

Penjarakan sosial harus dipatuhi dengan ketat sementara menunggu makanan dan minuman dibawa keluar, Ting menekankan.

PKP di Sibu akan tamat pada 14 Februari ini.