PELAKON Adam Lee memilih untuk menjaga batas pergaulan dengan orang asing demi memastikan hubungan harmoni antara beliau dengan pasangannya, Sweet Qismina, kekal hingga ke hujung hayat.
Menurut Adam, antara langkah untuk mengelakkan dirinya daripada terjebak dalam perbuatan curang adalah dengan tidak melayani sebarang mesej peribadi atau mesej secara langsung, khususnya yang diterimanya daripada pelbagai platform media sosial.


“Saya tidak melayan sebab saya tiada masa untuk melayan. “Kita cuba menjaga dan menguatkan iman. Macam saya, saya cuma melawan diri sendiri. Sebenarnya tiada apa-apa pun (tiada kontroversi),” katanya.
Adam turut menegaskan tiada keuntungan sekiranya beliau berdepan masalah dalam rumah tangga, mengambil kira betapa sukarnya untuk beliau membina mahligai bersama-sama isterinya suatu ketika dahulu.
“Sejujurnya, untuk mendapatkan Sweet bukan mudah. Jadi, saya fi kir mengapa perlu saya berperangai begitu,” katanya.
Sementara itu, Sweet Qismina turut menegaskan ujian dalam rumah tangga merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Beliau justeru memohon doa yang terbaik daripada netizen dan peminat agar hubungannya bersama-sama suami terus kekal sampai bila-bila. “Alhamdulillah, tiada apa-apa pun (tiada kontroversi rumah tangga).
Ujian memang sentiasa datang dalam rumah tangga, jadi doakan yang terbaik. “Semoga hubungan kami dijaga oleh Allah sampai bila-bila. Jodoh atau tiada jodoh ditentukan oleh Allah.
Allah yang menulisnya, jadi siapa kita untuk mempersoalkan apa-apa.
“Doakan yang terbaik untuk kami. Semoga hubungan kami berkekalan dan tiada perkara buruk berlaku dalam hubungan kami,” katanya.
Adam dan Sweet Qismina sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis yang berlangsung di The Boathouse pada 24 Oktober 2022.
Pasangan itu dinikahkan dengan mas kahwin sebanyak RM2,410.97 bersama lima dulang hantaran, manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran.
Majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat itu turut mendapat sambutan daripada warga netizen selepas disiarkan secara langsung di YouTube.






