KUCHING: Skuad Kuching City FC terpaksa melupakan seketika khidmat ketua pasukan, Muhammad Adam Shreen Tambi untuk beberapa perlawanan kancah Liga Super 2023 selepas ini.
Bintang perancang berpengalaman luas itu akan berehat selama dua minggu ekoran dibelenggu kecederaan lutut selepas bertembung dengan bekas rakan sepasukan, Tommy Mawat Bada ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC di Kuching Ahad lepas.
Pemangku ketua jurulatih, Sulaiman Hussin memberitahu, kecederaan anak buahnya itu tidak begitu serius.
Bagaimanapun katanya, dia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dapat beraksi kembali.
“Kecederaannya tidak begitu serius, cuma perlu masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih sepenuhnya,” ujar Sulaiman kepada Arena Suara Sarawak.
Tambah Sulaiman, ketiadaan Shreen untuk beberapa perlawanan selepas ini sekali gus memberi peluang kepada pemain simpanan untuk mengambil alih tugas di posisi tersebut.