KUCHING: Aduan mengenai iklan serta promosi kesihatan dalam talian yang didakwa melanggar peraturan dan mengelirukan orang ramai akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama wakil persatuan dan pakar perubatan di Kuala Lumpur semalam seperti dipetik daripada Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa aduan itu akan dipanjangkan kepada pihak MCMC untuk tujuan penelitian dan tindakan lanjut bersama pihak berkaitan menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Fahmi, pertemuan itu diadakan bagi membolehkan beliau mendengar sendiri pandangan, cadangan, serta isu yang menjadi perhatian wakil persatuan dan pakar perubatan terbabit.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas perkongsian terbuka dan konstruktif daripada pihak berkenaan kerana pandangan mereka di lapangan penting bagi memahami masalah sebenar serta mencari penyelesaian yang lebih berkesan.




