Aduhai rakyat, PKP bukan dilaksana hanya waktu malam!

KITA memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baharu dan tampaknya, masih ramai menyangka PKP ini hanya dikuat kuasa sebelah malam sahaja.

Tidak tahu di mana silapnya mesej yang disampaikan atau diterima rakyat, akhirnya dapat dilihat masih banyak kereta merayap pada waktu siang semasa PKP.

Di persekitaran pasar raya, tapak parkir masih dipenuhi kereta pelanggan. Kali ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontijen Sarawak memberi amaran tegas, pihaknya tidak lagi berlembut terhadap individu ingkar PKP.

PDRM mengurangkan tindakan mengkompaun, sebaliknya tangkapan dipertingkatkan dengan tuduhan di mahkamah untuk membolehkan hukuman penjara dan/atau denda dijatuhkan. Setakat ini, 633 orang sudah ditangkap dan 733 orang dikompaun.

Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua, agar duduk diam di rumah, sama ada pada sebelah siang, lebih-lebih lagi pada sebelah malam.

Tanamkan di dalam otak bahawa vaksin untuk mengatasi Covid-19 masih belum ditemui dan semuanya bergantung kepada cara setiap individu bertindak mendepani wabak ini.

Kita tidak mahu PKP dilanjutkan semata-mata ramai berdegil mahu keluar rumah sehingga menyukarkan tindakan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Setakat ini di negara kita, Klorokuin, Hidroksiklorokuin, Interferon beta dan kombinasi Remdesivir digunakan merawat pesakit Covid-19 dengan Tocilizumab turut dipertimbang digunakan.

Bidang perubatan juga mengambil kira penggunaan plasma darah yang didermakan pesakit sembuh dengan imuniti tinggi sebagai alternatif rawatan. Sementara itu, KKM juga sedang berusaha mendapatkan sebanyak mungkin “rapid test kit” untuk saringan yang tepat dan pantas.

Malaysia sendiri dipilih WHO menyertai ‘Kaji Selidik Solidariti’ dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat merawat jangkitan Covid-19, dan ini turut melibatkan Hospital Umum Sarawak. Semua ini dilakukan untuk rakyat demi mengembalikan situasi kepada normal.

Dapat dilihat betapa bersungguhnya Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) melalui Unit Digital Village menyatukan komuniti pencipta, bekerjasama membuat alat pelindung diri (PPE) menggunakan pencetak 3D dan laser, hingga menghasilkan 10,000 unit PPE.

Sementara, UIAM menghasilkan Medibot, robot yang membantu petugas hospital selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Centexs pula memperkenalkan terowong sanitasi C-Mosh Sanitizer pertama di Sarawak dan menghasilkan 25 unit dengan kos RM10,000 seunit.

Terowong sanitasi mengeluarkan embun yang mampu nyahkuman individu dalam 10 saat sahaja. Semua ini inisiatif yang dilakukan demi mengatasi penularan wabak Covid-19 yang sudah meranapkan ekonomi banyak negara maju dunia.

Warga di Sarawak harus berdisiplin untuk menegakkan dan menjayakan tujuan PKP dilaksanakan jika tidak mahu tempoh tinggal di rumah ini terus dipanjangkan.

Janganlah pandang enteng akan maksud arahan supaya tinggal di rumah, sama ada pada waktu siang atau pada waktu malam.

Bersatulah menjayakan matlamat PKP diadakan!

Suara Sarawak