ARTIKEL

Mohamad Duri meninjau kemajuan kerja pemasangan sistem pengagihan voltan rendah di lot kediaman Kampung Melayu Roban Fasa Satu, semalam.

ADUN Kalaka mohon bekalan elektrik penempatan baharu dipercepat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ROBAN: Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bawah skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) diharap dapat diteruskan pelaksanaannya untuk membekalkan bekalan elektrik 24 jam ke rumah penduduk kampung dan rumah panjang baharu di luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Sarawak (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, walaupun beberapa kampung di Saratok sudah menikmati bekalan elektrik melalui projek ALAF berjumlah RM2.5 juta, namun masih ada kawasan lain yang bergelap.

Menurutnya, baru-baru ini dilaksanakan sesi dialog bersama-sama penduduk Kampung Perpat, Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi meneruskan pelaksanaan projek ALAF.

“Ini jelas membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat prihatin dengan kemudahan asas yang sangat diperlukan oleh rakyat.

“Bantuan khusus terus dihulurkan kepada mereka yang memerlukannya.

“Bagaimanapun, untuk kediaman baharu yang belum menikmati bekalan elektrik 24 jam, saya berharap inisiatif SEB membantu rakyat dapat diteruskan dan pelaksanaannya juga mohon dipercepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kemajuan kerja pemasangan Alat Ubah 160 kVA 11/.433 volt dan sistem pengagihan voltan rendah di lot kediaman Kampung Melayu Roban Fasa Satu, semalam.

Beliau komited berjuang memastikan bekalan elektrik 24 jam dari grid SEB dinikmati penduduk luar bandar termasuk di DUN Kalaka.

Tegas Mohamad, setiap kontraktor yang terlibat diingatkan mengikuti jadual pelaksanaan projek seperti ditetapkan dalam kontrak dengan SEB.

“Mohon juga kontraktor pendawaian dalaman untuk menghantar borang AC01 dengan segera supaya proses pembayaran deposit dan yuran meter dapat dilaksanakan oleh pemohon seterusnya pemasangan meter oleh SEB.

“Seperkara lagi, saya ingin menarik perhatian SEB tentang permohonan swicthing personal ditempatkan di Kabong dan Saratok ekoran jarak perjalanan yang jauh akan melambatkan proses pemulihan bekalan tenaga.

“Masa terputus bekalan elektrik akan bertambah disebabkan kegagalan swicthing personal menukar fius ABFI yang rosak,” ujarnya.

Sebagai penghargaan, Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen tinggi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi yang meluluskan beberapa projek ALAF di kawasan DUN Kalaka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU