ADUN Repok bantu ringan beban ibu bapa

SARIKEI: “Bantuan Yang Berhormat (YB) menambah perasaan teruja anak saya untuk ke sekolah Isnin ini.

Tidak ada lain yang mampu kami diucapkan selain terima kasih.”

Itu luahan penerima bantuan persekolahan selepas menerima sumbangan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Sumbangan beg dan pakaian sekolah itu merupakan sebahagian usaha Tiong Sii bagi membantu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan di kawasan DUN Repok menjelang pembukaan sesi pertama persekolahan Mac ini.

Sekolah yang menerima sumbangan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SK) Sze Lu, SK Sungai Paoh, SJK Chung Hien, SK Balong, SJK Kiew Mang, SJK St Martin, SJK Tiong Ho, SJK Tiong Ho, SJK Sing Ming, SK Penghulu Andin, SJK Si Dok, SJK Nam Kiew, SK Rentap dan SJK Bulat.

Sehubungan itu, bapa seorang pelajar, Stephen Ling, 34, berkata, dua anaknya masing-masing murid Tahun Satu dan Tiga kini sudah tidak sabar untuk ke sekolah.

“Mereka sepatutnya ke sekolah Januari lalu tetapi terpaksa mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan penularan pandemik Covid 19.

“Sudah pasti, anak-anak saya gembira dan mereka semakin bersemangat untuk ke sekolah Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada YB kerana sudi menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sehubungan itu, ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, program kebajikan pendidikan tersebut bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang kini sibuk melakukan persiapan sebelum sekolah semula dibuka Isnin ini.

“Saya amat memahami situasi tersebut dan mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan mengikut kapasiti saya sebagai wakil rakyat. Saya berharap sumbangan yang diberikan itu menyuntik semangat kepada mereka supaya lebih tekun menimba ilmu.

Suara Sarawak