ADUN Repok turun padang hulur sumbangan projek pintu sempena Gawai

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang menyalurkan bantuan kepada sebanyak 87 buah rumah panjang di kawasannya sempena Hari Gawai.

Bantuan dihulurkan melalui bantuan Projek Pintu menjelang Gawai yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Secara keseluruhan sebanyak 1,327 pintu menerima sumbangan berkenaan.

Sehubungan itu, Huang berkata, bantuan merupakan sebahagian Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjaga kesejahteraan penduduk di rumah di kawasan DUN Repok.

“Saya faham setiap kali Hari Gawai, setiap rumah panjang khasnya pasti mempunyai perancangan aktiviti bagi memeriahkan sambutan masing-masing.

“Justeru kita menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka meraikannya biarpun secara sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk rumah panjang agar tinggal di rumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Langkah itu katanya, penting bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga kerana Wabak Covid-19 ini belum dibendung sepenuhnya.

“Kita amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana amat memahami keperluan rakyat khususnya di DUN Repok.

“Oleh kerana itu, kita wajar menghargainya dengan mematuhi sepenuhnya SOP bagi memastikan wabak Covid 19 dapat dicegah sepenuhnya. Kita belum menang dan kita belum kalah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, James Song, 45, berkata, sumbangan tersebut meringankan beban mereka.

“Terima kasih atas keperihatinan Dato’ Sri Huang Adun N.45 Repok,” katanya.