SIBU: Cawangan Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak digesa menyediakan lebih banyak papan tanda dan papan amaran di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo dari Sibu ke Selangau.
ADUN Tamin Ir Christopher Gira Sambang membuat gesaan ini susulan dari kes kemalangan maut yang berlaku di sepanjang jalan tersebut yang telah mengorbankan ramai nyawa dalam masa yang singkat baru-baru ini.

“Pihak berkenaan harus menerangkan kepada rakyat tentang penggunaan jalan yang betul manakah laluan empat lorong yang sudah dibuka dan yang masih membuka dua lorong untuk laluan.
“Ini bukan hanya laluan Lebuhraya Pan Borneo di Selangau sahaja malah keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak ini bagi mengurangkan kecelakaan jalan raya,” katanya di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau meminta semua pengguna jalan supaya berhati-hati menggunakan laluan Lebuhraya Pan Borneo
Beliau dalam masa yang sama menzahirkan rasa simpati dengan kehilangan lapan nyawa dalam kecelakaan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo sepanjang laluan dari Sibu ke Selangau baru-baru ini.
“Saya hendak menasihatkan semua orang yang membawa kenderaan semasa balik dari bercuti Gawai ini supaya memandulah mengikut had yang ditetapkan.
“Ini kerana laluan Lebuhraya Pan Borneo banyak yang sudah dibuka kepada kenderaan tetapi ada bahagiannya dibuka empat lorong dan ada juga dibuka kepada dua lorong sahaja,” tegas beliau.