Adunan 5 faktor ramuan kejayaan skuad Sarawak

BEKAS jurulatih dan bekas ketua pasukan Sarawak, Jalil Ramli menjelaskan adunan lima faktor memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan, iaitu pengurusan, jurulatih, barisan pemain, keharmonian dan para penyokong.

Ia merupakan faktor kekuatan pasukan Sarawak sepanjang lapan musim (1991-1998) yang memenangi tiga trofi (Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih1998).

“Ketika itu kami mempunyai Allahyarham Datuk Taha Ariffin selaku presiden FAS. Dia mempunyai misi dan visi yang hebat.

“Ditambah pula dengan Alan Vest… seorang jurulatih yang gigih dan bijak dalam percaturan,” kata Jalil.

“Ia turut dibantu material (barisan pemain) yang ada ketika itu. Malah keharmonian dalam pasukan, antara pemain, jurulatih dengan pihak pengurusan juga terjalin erat.

“Tidak lupa dengan sokongan padu para penyokong sepanjang musim… jadi ia juga banyak membantu,” ujar Jalil.

“Malah, sokongan wartawan ketika itu juga memainkan peranan. Laporan mereka dalam media cetak membantu memberikan rasa gerun kepada pasukan lawan,” katanya.

Jalil turut berpendapat kebajikan pemain amat penting terutama dalam soal gaji.

“Oleh itu saya amat menyokong tindakan badan pentadbir, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang amat menitikberatkan soal kewangan persatuan.

“Sesebuah pasukan perlu berbelanja ikut kemampuan, bukannya sesuka hati mengambil pemain import yang kemudiannya memberikan bebanan kepada persatuan,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Jalil, FAS juga perlu mempunyai sistem pembangunan yang terancang untuk melahirkan generasi pemain yang akan mampu memikul tugas pada masa akan datang.

“Kita perlu mempunyai pasukan asas yang kuat dan ini memerlukan pemain tempatan yang berkaliber,” jelasnya.

“Untuk membentuk pemain muda menjadi matang, kita memerlukan masa… sekitar tiga hingga empat tahun,” ujarnya.