ARTIKEL

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon.

Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu.

Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio dan wartawan lapangan yang diminati.

Datuk Affandi Tahir, 83, pasti tidak menduga kerjayanya itu membawanya ke satu dunia lain yang hari ini setara pempengaruh atau influencer.

Dilahirkan pada 17 Julai 1941 dan dibesarkan di Kampung Barong, Rajang, Affandi tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang wartawan penyiar.

Sebaliknya beliau hanya bertekad untuk “tidak pulang tangan kosong” ke kampung setelah menghadapi beberapa episod kegagalan.

Pada usia 5 tahun, Affandi telah belajar berjauhan dari keluarga, dan berpindah mengikut kakaknya untuk menikmati persekolahan di Sekolah Abang Buyuk, Kampung Jerijeh.

Kakak keduanya ketika itu telah bermastautin di kampung tersebut setelah berkahwin dengan pemuda di kampung itu.

Pada 1954, ketika usianya mencecah 13 tahun, Affandi meneruskan persekolahannya di Sekolah Batu Lintang di Kuching. Sekolah ini ditubuhkan pada 1 Julai 1948 merupakan bekas kem tahanan tawanan perang.

Dengan bantuan biasiswa, beliau menuntut di sini selama lima tahun, sebelum menyambung pembelajaran di sekolah berasrama Dragon School; yang agak terkenal pada waktu tersebut.

Ketika di sekolah ini, beliau mengambil peperiksaan Senior Cambridge tetapi gagal.

Kegagalan ini menyebabkan beliau tenggelam punca, dan tidak mahu pulang ke kampung seperti anak-anak lain.

Affandi sebaliknya mula mencari peluang pekerjaan.

Beliau kemudian memohon jawatan sebagai pembantu penyiaran di Radio Sarawak, yang sebelum itu memulakan siarannya pada 8 Jun 1954.

Namun beliau sebenarnya terlebih dahulu menghadiri temu duga sebagai pegawai tadbir negeri namun gagal. Affandi dipanggil menghadiri temu duga sebagai pembantu penyiaran sekitar April 1961.

Beberapa hari kemudian, pada 18 April, bermulalah kerjayanya sebagai penyampai dan penyiar Radio Sarawak, yang ketika itu sedang membesar.

Sebagai satu-satunya stesen radio, sudah pasti para penyampainya menjadi begitu popular dan kaya peminat. Itulah pengalaman yang dialami Affandi.

Antara rakan seperjuangannya pada waktu itu termasuklah Salleh Askor Taibi Ali, Hasanah Daud, Chew Hock Guan dan Tan Sri Gerusin Lembat yang kemudian dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak yang pertama.

Tidak lama selepas itu, Affandi telah dihantar untuk menjalani latihan penyiaran profesional selama empat bulan di BBC London.

Latihan itu bermula pada 24 September 1962 dan beliau terpaksa menamatkannya awal kerana perlu membantu Radio Sarawak untuk menerbitkan program propaganda berikutan kempen “Ganyang Malaysia” yang digerakkan oleh Presiden Indonesia, Soekarno.

Untuk membangkitkan semangat rakyat, dan meningkatkan keyakinan mereka, Affandi perlu berada di “medan perang”.

Dengan bersenjatakan alat perakam, beliau bukan sahaja membuat liputan tentang rondaan dan kejayaan tentera British menjaga sempadan Sarawak, malah mewawancara mereka yang terjejas akibat aktiviti pengganas.

Malah beliau melihat sendiri akan kesan tembakan dan pengeboman oleh pengganas pada waktu itu.

Tugas beliau ketika itu terdedah kepada serangan bukan sahaja komunis, ejen-ejennya yang berkeliaran.

Namun Affandi tidak gentar kerana minatnya yang mendalam terhadap kerja di lapangan.

Ini meningkatkan lagi minat banyak pihak kepadanya, apatah lagi Radio Sarawak pada waktu itu merupakan satu-satunya medium komunikasi yang wujud.

Kerana itulah sebenarnya, Radio Sarawak begitu berpengaruh dan amat penting sebagai medium komunikasi dan menyebarkan propaganda.

Malah kalangan penyiar dan penyampai ini juga memainkan peranan penting dalam mematahkan apa-apa sahaja propaganda Indonesia ketika itu.

Pada 16 September 1963, Radio Sarawak telah dijenamakan semula sebagai Radio Malaysia Sarawak, selepas negeri itu membentuk Malaysia.

Affandi kekal menjadi sebahagian daripada sejarah penting itu.

Malah beliau menjadi antara perakam momen penting kepada bertukarnya pemerintahan Sarawak daripada sebuah negeri yang dijajah Koloni British, kepada sebuah negara yang merdeka dan akhirnya membentuk Malaysia.

Beliau merakamkan segala-galanya sebagai “saksi” sejarah penting negara itu.

Sebagai antara penyiar yang berpengalaman, dan pernah berkursus di luar negara, Affandi kemudian ditawarkan sebagai Ketua Perkhidmatan Melayu, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau menjawat jawatan tersebut bermula 1968 hingga 1976, apabila dilantik sebagai Pengawal Program. Pada 1976 juga, beliau dinaikkan pangkat untuk mengetuai Stesen RTM Limbang.

Pada Ogos 1980, Affandi dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Program di RTM Kuching dan terlibat dalam memperkenalkan beberapa acara ikonik seperti Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri, Pertandingan Bintang P. Ramlee dan Pertandingan Bintang Kecil.

Pada 1992, Affandi diberi kepercayaan sebagai Pengarah RTM Johor, sebelum bersara lima tahun kemudian.

Pada 8 Ogos 1996, Kristal Harta Sdn Bhd telah diberikan lesen penyiaran radio dan melancarkan CATS FM.

Masih “panas” dengan persaraan, peminat kereta vintaj Volksvagen Beetle 1300cc, dengan kereta pertamanya dibeli pada 30 Disember 1967 ini telah dilantik sebagai penasihat.

Bermula sebagai penasihat, Affandi kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif stesen radio swasta itu apabila penstrukturan semula dilakukan.

Selepas 12 tahun bersama Cats FM, Affandi mengambil keputusan bersara sepenuhnya.

Namun beliau masih aktif dalam beberapa aktiviti luaran, dan perniagaan.

Beliau malah sempat menerbitkan biografinya From Belacan to FM yang antara lain menceritakan kisah perjalanan hidupnya.

Pemilik kereta Volkswagen Beetle KA6287Q ini telah menghembus nafas terakhirnya pada jam 10.53 malam Isnin lalu, meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Tetapi beliau mewariskan kepada kita semua akan kenangan dan perjalanan hebat sebagai penyiar muda kepada penyiar yang berjaya.

Anak miskin dan pernah gagal menjadi insan yang berjaya, dan berada di persada. Al-Fatihah.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

BERITA LAIN

Mencapai Arafah

SEKITAR 1.5 juta umat Islam berkumpul di Makkah tahun ini mengerjakan ibadah haji. Daripada jumlah tersebut, turut serta 31,600 jemaah haji Malaysia, selain penyertaan terbesar

Tulisan beracun

MATA pena lebih tajam daripada mata pisau. Sama seperti pisau yang dapat digunakan untuk mengukir, alat yang sama juga dapat digunakan untuk membunuh. Pisau dapat

Skuad termahal buru juara

JIKA bercakap mengenai bola sepak, sudah pasti kebanyakan peminat menggemari kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris. Ini kerana kebanyakan kelab seperti Arsenal, Manchester United,

Sayangi anak istimewa

HIDUP impikan kesempurnaan. Dahulu impian saya nombor satu memiliki anak-anak yang sihat, sempurna fizikal, beradab dan pandai sekolah dan panjang umur. Saya tidak impikan benda

Harapan selepas SPM

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah peperiksaan penting, sebagai detik permulaan anak-anak muda

BERITA TERBARU