Agen hartanah bergelar ‘Abang Ram’ lenyapkan RM1,512 wang mangsa penipuan membeli sebidang tanah

KUCHING: Seorang penjawat awam lenyap wang berjumlah RM1,512 apabila ditipu seorang agen hartanah yang bergelar ‘Abang Ram’ untuk memiliki sebidang tanah dengan harga murah di Santubong tidak kesampaian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek menawarkan harga murah kepada mangsa ke atas sebidang tanah yang tidak wujud dengan meminta wang pendahuluan.

“Pada Oktober tahun lepas, mangsa telah membuat bayaran secara tunai namun tiada sebarang dokumen perjanjian diserahkan.

“Mangsa yang masih menunggu surat pemilikan tanah namun gagal menghubungi suspek sehingga Januari 2020,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Merbin, apabila mangsa menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Kuching, Selasa lalu.

Merbin memberitahu bahawa suspek yang berusia 47 tahun berjaya ditangkap di Gita atas beberapa maklumat yang diperolehi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pihak polis turut menerima dua laporan susulan daripada dua orang suri rumah yang berusia 37 dan 50 tahun membabitkan suspek yang sama.

“Kedua-dua mereka juga turut membeli sebidang tanah dari lokasi yang sama dengan menyerahkan deposit berjumlah RM3,112,” jelasnya.

Suspek direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula Khamis lalu sehingga 14 Disember depan.

Suara Sarawak