Agenda pertama untuk Sarawak

KUCHING: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin angin perubahan yang meniup Barisan Nasional (BN) keluar dari Putrajaya pada 2018 tidak akan berlaku di Sarawak.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB itu, rakyat Sarawak pasti akan menghargai rekod prestasi GPS pada Pilihan Raya Negeri ke12 (PRN-12) kelak.

“Kita tidak boleh mengambil mudah sebarang perkara.

Apa-apa yang berlaku di Semenanjung boleh berlaku di sini,” katanya yang dihubungi, semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong percaya rakyat Sarawak akan menghargai pelbagai projek pembangunan yang sudah dilaksanakan, termasuk dari segi pengurusan Covid-19 walaupun berlaku lonjakan kes di negeri ini.

“Dari segi pengurusan Covid-19, kami melakukan semua yang kami mampu.

Anda perlu melihat pencapaian kerajaan ini sekarang,” katanya.

Beliau juga berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberikan kepemimpinan paling strategik dan berhasil di Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menambah, pencapaian utama Kerajaan Sarawak termasuk membuatkan Petronas membayar lebih RM2 bilion cukai jualan untuk produk minyak yang digali dari pesisir negeri ini.

“Ini dapat dilihat sebagai percubaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari untuk mengurangkan kebergantungan tradisional terhadap dana dari Putrajaya.

“Kerajaan Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya RM140 bilion bagi membangunkan Sarawak sepenuhnya dan ini bukan jumlah yang mustahil untuk dikumpul,” katanya.

Selain itu beliau berkata, GPS menggunakan sebahagian daripada hasil pembayaran SST untuk membiayai Lebuh Raya Pesisir Utara sejauh 86km yang dahulunya dikenali sebagai projek fasa kedua Lebuh Raya Pan Borneo.

Katanya, projek itu membabitkan pembinaan tujuh jambatan merentasi sungai utama dan dalam pelbagai peringkat
pelaksanaan.

“Ia akan memudahkan semua komuniti di kawasan pesisir – masyarakat Melayu, Iban dan Melanau dari Miri ke Kuching,” katanya sambil menambah, projek itu akan menjadi penghubung penting ke daerah utara Lawas dan Limbang yang berpotensi menjadi lombong emas minyak dan gas.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, Kerajaan Sarawak sudah memulakan projek grid air yang akan dilaksanakan dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, bagi menyediakan bekalan air terawat ke kawasan luar bandar.

Mengenai hubungan GPS dengan Kerajaan Persekutuan beliau berkata, GPS akan terus menyokong dan bekerjasama rapat dengan Putrajaya tanpa menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Tetapi agenda pertama kami ialah untuk Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak