Agenda transformasi pembangunan diteruskan

SARIKEI: Kerajaan komited untuk meneruskan agenda transformasi pembangunan dalam menentukan hala tuju terbaik untuk rakyat khususnya di kawasan Dun Repok.

Adun Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, setiap program yang dirancang teliti demi ke-selesaan rakyat, di samping memfokuskan hala tuju dan aspirasi mereka.

Menurutnya, kerajaan gigih berusaha bagi mencapai pembangunan seimbang dengan membangunkan kawasan luar bandar seiring dengan kemajuan di bandar. “Kestabilan politik  Sarawak terbukti berjaya membawa pembangunan yang berterusan untuk rakyat.

Sudah pasti impian ini mampu direalisasikan atas sokongan rakyat yang menjadi penentu kejayaan program yang dirancang oleh kerajaan.

“Kita juga akan terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah agar semua perancangan dilaksanakan dengan sempurna,” katanya pada Program Pembangunan Komuniti (Projek Rakyat N.45 Repok) bersama-sama penduduk lima buah rumah panjang di sini pada Selasa.

Beliau memberi jaminan meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat Repok selain mengambil langkah proaktif bagi memastikan mereka terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, projek seperti pembinaan jalan raya, infrastruktur asas termasuk bekalan air dan kemudahan elektrik, pendidikan dan pembangunan lain juga tetap diteruskan.

“Usaha ini bukan bermusim sebaliknya dilaksanakan dari semasa ke semasa. Saya percaya rakyat dapat melihat banyak perubahan positif yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, sejak Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memimpin negeri ini, beliau dapat meneruskan projek besar untuk manfaat rakyat.

“Di Sarikei sendiri banyak projek dilaksanakan di bawah Abang Jo termasuk menaik taraf dan membina baharu prasarana dan kemudahan sekolah, gereja, tokong dan sebagainya.

Ini semua bukti kasih sayang Ketua Menteri dalam mempercepatkan pelaksanaan projek yang diperlukan oleh rakyat.

“Ketika ini, kerajaan sedang giat melaksanakan projek pembinaan jalan dari Sarikei ke Tanjung Manis, projek agro, pusat pengumpulan hasil pertanian.

Tidak cukup dengan itu, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini, membuktikan komitmen padu kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat. Terima kasih Abang Jo,” katanya. Program diadakan di Rumah Lanja, Rumah Robert, Rumah Jawi, Rumah Entagau dan Rumah Clement.

Suara Sarawak