KUCHING: Seksyen Wanita Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian (PPCBKSS) bersama-sama Kelab Mirage Sarawak berganding bahu mengagihkan 200 bungkus makanan tengah hari secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan, kurang upaya dan anak yatim.
Menurut ketua Seksyen Wanita PPCBKSS Georgina Chong, program itu diadakan selama dua hari bermula semalam.
Katanya pada semalam, sejumlah 200 bungkus makanan telah disediakan oleh Restoran Mandarin dan diagihkan kepada orang ramai dengan 100 bungkus diagihkan kepada Rumah Cheshire dan rumah Salvation Army Boy’s & Girls’.
“Walaupun majlis bermula dari jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, sambutan adalah luar biasa dan agihan makanan selesai awal dari yang dijangka,” katanya dalam kenyataan.
Turut hadir Penasihat Eksekutif PPCBKSS Michael Teo, Presiden PPCBKSS Datuk Richard Wee, Presiden Kelab Mirage Sarawak Datin Amar Kathryn Wee, Penasihat Eksekutif Seksyen Wanita, Foo Kee Ann dan Ketua Kumpulan Bantuan Bencana Kapitan Enthan Tan.


