Agihan bantuan di DUN Repok diperhebatkan

SARIKEI: Agihan sumbangan bantuan kepada penerima di kawasan DUN N.45 Repok dipergiatkan ke seluruh kawasan itu bagi memastikan mereka yang layak menerimanya tidak terlepas pandang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan itu turut memberi tumpuan kepada mereka yang kurang kemampuan dan terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika ini katanya, ramai kehilangan pendapatan terutama mereka yang tidak berpendapatan tetap atau bergaji harian.

“Malah, mungkin ada warga emas dan ibu tunggal yang amat memerlukan sumbangan ini. Berikutan kesedaran itu, kerajaan mengambil inisiatif menyalurkannya dengan harapan ia dapat meringankan beban mereka yang menerimanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pasukan sukarelawan Pusat Khidmat N.45 Repok mengedarkan bantuan makanan ke beberapa rumah panjang dan penempatan di Selangan, Bulat, Stok dan Rusa.

Selain itu, pengedaran bantuan juga disalurkan kepada mereka yang tinggal di Bayong, Ulu Sarikei dan Jalan Kim San selain beberapa penerima yang kurang berkemampuan.

Setakat ini katanya, proses agihan berjalan lancar walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya jarak perjalanan yang jauh dan cuaca buruk.

“Saya amat menghargai dan terharu dengan pergorbanan serta kesungguhan yang mereka (sukarekawan) pamerkan untuk membantu menyalurkan semua bantuan ini.

“Ketika inilah, kita dapat menilai tahap kerjasama, perpaduan dan keakraban sesebuah komuniti dalam kerja-kerja amal dan bergotong-royong. Pada masa yang sama, saya juga ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan peruntukan bantuan untuk rakyat di Repok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Huang mahu semua pihak memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang PKP.

Setiap individu masyarakat katanya, perlu memahami dan menghargai kesukaran kakitangan barisan hadapan seperti doktor, jururawat, kakitangan perubatan, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka bukan sahaja bekerja keras untuk menangani wabak Covid-19 tetapi sanggup berdepan risiko dijangkiti pandemik bahaya ini. Justeru, sudah sampai masanya kita menghargai sumbangan mereka. Tidak sekadar berterima kasih tetapi, patuh arahan dengan duduk di rumah selain menjaga kebersihan diri,” ujarnya.

Suara Sarawak