
GEDONG: Agihan lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha mencukupi di seluruh Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah membekalkan 1,000 ekor lembu untuk seluruh negeri ini termasuk kambing.
Tambahnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) turut membantu mengimport lembu tambahan untuk SEDC.
“Ini membayangkan bahawa ekonomi telah pulih dan mereka dapat membeli lembu dan diagihkan kepada asnaf dan orang yang patut menerima lembu tersebut.
“Saya nampak agihan ini mencukupi untuk seluruh Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan lembu dan daging korban Dun Gedong, di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 30 ekor lembu disumbangkan untuk ibadah korban termasuk 10 ekor lembu dari Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Bahagian Samarahan, lapan ekor lembu dari Parlimen Batang Sadong, sembilan ekor lembu dari Abang Johari yang juga Adun Gedong dan tiga ekor lembu dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Ikhlas.
Beliau turut turut menyampaikan daging korban kepada masjid, surau, golongan asnaf dan sekolah tahfiz sekitar Dun Gedong.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri, Residen Samarahan Brahim Lumpu dan kenamaan yang lain.
