Agong adakan sidang video mesyuarat pra-Kabinet bersama PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan sesi Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi sidang video di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sesi sidang video itu julung kali diadakan untuk Mesyuarat Pra-Kabinet berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula hari ini hingga 28 April, bagi membendung penularan pandemik COVID-19

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan supaya mesyuarat Pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan untuk Seri Paduka Baginda berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya berkenaan isu semasa.

“Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat kerana secara lazimnya, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Istana Melawati di Putrajaya untuk mesyuarat-mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata sesi itu berlangsung selama 45 minit dari pukul 8.30 pagi, dengan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mesra dan saling bertanya khabar, selain penuh teliti ketika perbincangan itu. – Bernama

Suara Sarawak