Kanak-kanak berusia dua tahun antara lima maut kemalangan di Sibu

Trending

Agong berkenan lancar Program Pemerkasaan Komuniti

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan program Pemerkasaan Komuniti yang digerakkan bagi menangani COVID-19 serta menyampaikan Titah Diraja pada 29 Mac ini secara langsung di televisyen.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata antara inti pati program itu adalah memaklumkan kepada masyarakat untuk bersama-sama menjaga komuniti sekeliling dan keluarga daripada risiko jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, antara aktiviti Pemerkasaan Komuniti adalah penubuhan ejen basmi COVID-19 (ABC-19), pertandingan kampung atau komuniti bandar zon hijau.

Katanya, ia termasuk membantu pendaftaran vaksinasi untuk komuniti di pedalaman yang sukar dicapai kumpulan lain dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sejak program ini digerakkan dari Februari lalu, nampak usaha itu membuahkan hasil dengan penurunan kes COVID-19 yang ada kaitan dengan usaha dilaksanakan bersama komuniti,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas program Santai Mesra Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan Bersama Media, di sini semalam.

Baca lain  Acu pistol gara-gara dijerit

Aminuddin berkata, NADMA diberi tanggungjawab menambah pendaftaran penerimaan vaksin khusus di kawasan pedalaman dengan menggunakan kekuatan pengaruh ketua komuniti.

“Kita harus bersedia untuk memastikan kumpulan yang tiada telefon bimbit dan berada di kawasan pedalaman berpeluang untuk divaksinasi,” katanya.

Beliau berkata, masalah komuniti tiada akses internet atau telefon bimbit khususnya di kawasan pedalaman menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pertandingan komuniti zon hijau COVID-19 akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 April ini hingga 30 September untuk menjaga dan memastikan kawasan masing-masing bebas risiko jangkitan COVID-19.

“Kampung atau komuniti terbaik akan menerima hadiah berbentuk peruntukan bagi tujuan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, NADMA akan berjumpa badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa ini bagi mendapatkan kerjasama dan kepakaran NGO untuk mendekati komuniti serta menghebahkan cara terbaik menjaga daripada risiko COVID-19. – BERNAMA

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

6 Jun 2023

Berita Terbaru