KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan hasrat akan kembali lagi ke Sarawak pada tahun 2030.
Seri Paduka bertitah, ia apabila pembinaan semua lebuh raya dan infrastruktur di negeri ini siap sepenuhnya menjelang tujuh tahun lagi.
“Secara ringkas, sepanjang 2,192 kilometer (km) perjalanan saya setakat malam tadi (malam Selasa), jalan raya dan lebuh raya tetap ada.
Kadangkala keadaan lebuh raya seperti di Dubai, namun kadang-kadang perjalanan seperti menaiki ‘roller coaster’.
“Namun saya dimaklumkan oleh menteri yang berkenaan dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pihak kerajaan mempunyai perancangan dalam menyediakan dan melengkapkan semua kemudahan infrastruktur di negeri ini.
“Lebuh raya akan disiapkan dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan dalam tahun 2026, 2028 hingga 2030 ia akan disiapkan sepenuhnya.
“Justeru, saya berharap ia akan dibina dengan baik, dengan adanya kualiti dan mudah-mudahan, kalau umur panjang, pada tahun 2030 saya akan kembali.
Walaupun sudah tua sedikit, saya akan kembali, Insya-Allah,” titah baginda sempena Majlis Penutupan dan Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak, di sini, malam tadi.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah, antara objektif utama baginda mengilhamkan kembara berkenaan adalah untuk mengenali negeri Sabah dan Sarawak secara lebih dekat termasuk menyantuni rakyatnya.