ARTIKEL

Foto: Istana Negara

Agong, Permaisuri bangga, impian dekati rakyat Sabah dan Sarawak tercapai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sukacita dan rasa syukur setelah berjaya menyempurnakan Impian bagi mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang berakhir semalam.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin, baginda berdua berasa terharu dan tersentuh atas semangat serta sambutan yang sangat hebat yang diberikan oleh seluruh rakyat di kedua-dua negeri tersebut tanpa mengira penat Lelah, keadaan cuaca panas terik mahupun hujan lebat.

“Seri Paduka Baginda Berdua menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak atas sambutan yang sangat hebat kepada baginda berdua sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo (LPB),” katanya dalam kenyataan daripada Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat dan khususnya kepada kerajaan negeri Sabah serta Sarawak atas segala bantuan yang telah diberikan bagi menjayakan program tersebut.

Program tersebut yang julung kali diadakan itu bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu serta melabuhkan tirainya di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri LPB yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei, serta berjaya mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Di samping itu, beliau berkata segala pengalaman telah menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan landskap semula jadi di kedua-dua negeri berkenaan terpahat di hati baginda berdua sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program tersebut telah memberi peluang untuk baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di samping merealisasikan semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’,” katanya.

Katanya, Baginda berdua mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah SWT, serta berharap agar kedua-dua negeri tersebut kekal Makmur serta maju jaya dengan rakyatnya terus menjalani kehidupan dengan semangat perpaduan, aman dan Sentosa.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada Sabtu ini, Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong meneyeru seluruh rakyat agar menghayati serta menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identity Bangsa Malaysia.

Katanya, Seri Paduka Baginda bertitah sedemikian kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara merupakan formula bagaimana rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan Bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian hidup dengan rukun dan damai.

Sementara itu, sambutan Hari Malaysia tahun ini akan mengadaptasikan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, manakala frasa ‘Segulai Sejalai’, yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan seluruh negara.

Dedahnya, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching.

BERITA LAIN

Perdana Menteri China akan lawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun. Ini merupakan lawatan pertamanya ke

BERITA TERBARU

PUSTAKA agih daging korban kepada 220 asnaf

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) memperluaskan rezeki dengan mengagihkan daging korban sempena Program Ibadah Korban PUSAKA 2024 kepada 220 orang asnaf bertempat di