KUCHING: Seusai menamatkan Kembara Kenali Borneo secara rasmi hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke ibu negara pada 4.22 petang tadi.
Berangkat sama, anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Keberangkatan pulang keluarga kerabat diraja itu menggunakan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Pemangku Yang di-Pertua Negeri Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai kenamaan yang hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan keluarga.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terdahulu hari ini mengakhiri Kembara Kenali Borneo di Telok Melano.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua memulakan kembara di Tawau pada 3 September lalu bagi mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.
Program yang julung kali diadakan membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei itu mendapat sambutan luar biasa rakyat kedua-dua negeri