“Sungguh luar biasa”. Demikian kata-kata yang menggambarkan sambut-an terhadap Seri Paduka Ba-ginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mendekati rakyat dalam Kembara Kenali Borneo.
Malah, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua menjayakan kembara merentasi Pulau Borneo ini menzahirkan contoh perpaduan sebenar tanpa mengira perbezaan agama, budaya atau bangsa.
Kembara Kenali Borneo diilhamkan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah yang memberi peluang Seri Paduka Baginda membina jambatan silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kembara itu diilhamkan untuk mengenali rakyat di Sabah dan Sarawak secara lebih dekat lagi dengan mengambil pendekatan mendampingi dan menyantuni rakyat.
Yang di-Pertuan Agong menyifatkan rakyat di Sabah dan Sarawak sangat hebat kerana setia menunggu untuk menyambut ketibaan konvoi tanpa mengira cuaca hujan atau panas.
HULUR TANGAN
Titah Seri Paduka Baginda di Majlis Penutup dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak bersempena Kembara Kenali Borneo di Pullman Kuching pada malam Selasa, baginda mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga negara Malaysia tercinta.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan rakyat Sabah dan Sarawak di sepanjang jalan dan waktu yang dilalui konvoi kembara itu di luar jangkaan dan menjadi kenangan manis buat Seri Paduka Baginda sekeluarga.
Ia pasti menjadi kenangan terindah dan terpahat di sanubari buat baginda sebelum menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024 kelak sejak ditabalkan pada 2019.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sepanjang kembara itu berlangsung banyak aduan serta surat permohonan daripada penduduk yang belum menikmati keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang baik diterima.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, sepanjang tempoh itu, rakyat di Sabah dan Sarawak memberi sambutan hebat bukan hanya sewaktu kembara tetapi setiap kali baginda berdua berkunjung ke Bumi Kenyalang dan Negeri Bawah Bayu itu.
Begitu ramai yang menunggu baginda sekeluarga dan ada yang tidak kesampaian bersalam sekadar melambai sahaja.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak yang merealisasikan impian rakyat Borneo memiliki Lebuh Raya Pan Borneo dengan meluluskan pakej laluan Telok Melano membabitkan kos tambahan RM580 juta.
SEMANGAT PERPADUAN
Di samping itu, kembara ini dapat dilihat memupukkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Borneo.
Ia mampu menghakis perasaan kewilayahan dan kenegerian antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sebelum ini mendapat persepsi ramai pihak bahawa rakyat Sarawak dan Sabah selama ini ‘dianak tiri’ setelah menyertai Malaysia pada 16 Sepember 1963.
Momen ini, pasti menjadi momen bersejarah buat rakyat jelata kerana inilah figura dan ketua negara yang kita cari-cari dan idamkan, seorang yang penyayang dan sanggup mengetepikan protokol untuk mendekati rakyat.
Sementara itu, penjelajahan 3-13 September itu bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano di selatan Sarawak, membabitkan perjalanan jarak sejauh 2,154km menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano menjadi persinggahan terakhir Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kerana di situ merupakan lebuh raya pertama disiapkan dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Januari 2019.
Kembara Kenali Borneo mencatat sejarah tersendiri dan pengalaman unik kerana pelbagai program serta aktiviti bersama rakyat dirancang.
Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan hasrat akan kembali lagi ke Sarawak pada 2030, melihat sendiri pembangunan kemudahan infrastruktur di negeri ini.