KETAWA bersama, menangis bersama dan gembira bersama.
Ia umpama lirik lagu, namun kenangan tersebut pasti terpahat dalam jiwa rakyat sepanjang Kembara Kenali Borneo oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga.
Kembara 11 hari bermula 3 September itu pasti memenatkan, apatah lagi melibatkan jarak sejauh 2,154 kilometer dari hujung Sabah ke hujung Sarawak.
Namun penat itu pasti hilang setelah baginda berdua melihat sendiri akan keterujaan rakyat.
Rakyat gembira kerana inilah pertama kalinya seorang ketua negara, mencemar duli untuk mendampingi mereka.
Malah ini pertama kali mereka dapat bertegur sapa, malah berselfie serta menghadiahkan pelbagai barangan kepada baginda, tanpa sekatan protokol.
Justeru tidak hairanlah ada yang setia menunggu hingga lewat malam, malah sanggup lunyai berbasahan dalam hujan asalkan dapat bertemu raja berjiwa rakyat.
Maka betullah ungkapan keramat “raja dan rakyat berpisah tiada”.
Terlalu gembira dengan sambutan luar jangka inilah yang menyebabkan baginda Raja Permaisuri sehingga menitiskan air mata — merasai apa yang dipersembahkan rakyat biarpun mereka hanya berinteraksi, melambai dan menjerit “daulat tuanku” dari jauh.
Di beberapa kawasan, rakyat berasa bertuah kerana baginda berhenti untuk menyantuni mereka — menyebabkan pasukan yang mengawal keselamatan baginda sekeluarga terpaksa bekerja lebih gigih.
Ini termasuk untuk meraikan pasangan pengantin baharu dan menyantuni kanak-kanak serta warga emas. Yang pasti, keikhlasan terpancar di wajah, bukan sahaja baginda berdua, malah juga kalangan putera dan puteri mereka.
Kerana itu apabila mereka turut sama berhujan dan menyertai acara rakyat, mereka mendapat perhatian yang luar biasa.
Malah tidak keterlaluan apabila kebanyakan media sosial laris dengan wajah kacak dan sporting Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 27, dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, 22.
Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, kehadiran rombongan diraja ini begitu istimewa, kerana membuktikan mereka juga disantuni sebagai rakyat Malaysia.
Kerana itu mereka akan menerima secara terbuka betapa Al-Sultan Abdullah menitip nasihat agar mengekalkan perpaduan yang terjalin, dan menyokong kerajaan yang sentiasa menyantuni dan bekerja untuk rakyat dan negeri.
Kembara seperti ini malah amat dinanti, kerana sebelum ini mereka hanya mendengar betapa Al-Sultan Abdullah ketika masih Tengku Mahkota berkeliling daerah di Pahang untuk menyantuni rakyat, sambil Tunku Azizah mencemar duli melakukan aktiviti memasak untuk rakyat.
Seharusnya aktiviti seperti ini dipanjangkan, kerana Sabah dan Sarawak ini begitu luas bagi membolehkan lebih banyak aktiviti bersama rakyat dilangsungkan.
Kerana apabila urusan ini melibatkan Istana Negara, secara sendirinya elemen politik dikesampingkan.
Malah kejayaan kembara ini memberikan indikasi bahawa ia perlu dilakukan di seluruh negara oleh semua Yang Di-Pertuan Agong selepas ini.
Sayangnya baginda yang memulakan perkhidmatannya pada 31 Januari 2019 akan kembali ke Pahang pada tahun depan.
Baginda akan menamatkan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024.
Justeru boleh dikatakan ia adalah yang terakhir bagi mereka.
Namun baginda mungkin boleh mencadangkan acara santuni rakyat ini kepada sesiapa sahaja yang terpilih menjadi ketua negara Malaysia selepas ini.
Hari ini baginda berdua berangkat ke Telok Melano, bagi menyantuni rakyat di kawasan titik kosong kilometer itu.
Dan di sini, baginda akan merasmikan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano, yang mungkin apabila siap kelak dinamakan atas nama beliau.
Lawatan itu amat signifikan kerana baginda mengusulkan kembara ini kerana ingin melalui Lebuh Raya Pan Borneo — dan kawasan yang dilawati hari ini adalah lokasi bermulanya pembinaan lebuh raya itu.
Yang pasti, sebaik baginda berdua melangkah kaki menaiki pesawat rasmi pada petang ini, pasti mereka akan berlinangan air mata.
Kerana mereka pergi bersama kecintaan rakyat, keikhlasan rakyat menerima baginda berdua sebagai pemimpin mereka. Daulat Tuanku.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.