ARTIKEL

Foto Bernama

Agong sebak, zahir penghargaan dan terima kasih kepada rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebak sehingga menitiskan air mata ketika bertitah pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan baginda, malam ini.

Dalam titah tersebut, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi menerima kehadiran Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Lumrah dunia, setiap yang bermula pasti
akan berakhir dan setiap pertemuan pasti
akan ada perpisahan. Justeru, sudah sampai masanya untuk saya dan Raja Permaisuri Agong mengundur diri.

“Saya akan berangkat pulang ke Pahang
dengan satu perasaan yang sedih dan gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya.

“Persoalan sama ada saya berjaya ataupun
tidak bukanlah saya untuk membuat penilaian diri sendiri. Biarlah helaian sejarah yang menjadi bukti,” titah Seri Paduka pada majlis itu.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya seluruh rakyat Malaysia menjaga perpaduan dan semangat hidup bermasyarakat di negara ini sepenuh hati.

“Saya akan merasa amat bersedih seandainya perpaduan yang telah dibentuk ini runtuh kembali akibat kelemahan dan kealpaan kita.

“Dengan penuh rasa keinsafan dan tawaduk saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat,
keafiatan dan kemuliaan yang telah Allah
SWT kurniakan kepada hamba-Mu ini,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang baharu.

Dalam pada itu, momen ucapan Yang di-Pertuan Agong menyentuh perasaan Tunku Azizah turut dirakamkan apabila Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan yang teristimewa buat Raja Permaisuri.

Titah Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah sentiasa bersama Seri Paduka ketika berkunjung ke setiap pelosok negara dan tidak pernah lekang daripada menyantuni rakyat jelata.

“Buat Adinda Raja Permaisuri Agong, kekanda amat bertuah kerana telah berjaya menawan hati adinda 38 tahun yang lalu dan kekanda turut bersyukur serta berbangga kerana adinda telah turut berjaya menambat hati rakyat Malaysia sepanjang lima tahun yang lalu.

“Bagaikan Khadijah yang memberi sepenuh
hidup baginda untuk menyokong perjuangan Rasulullah, begitulah juga adinda yang tidak lekang memberi perangsang dan semangat kepada kekanda untuk terus memikul amanah yang berat ini,” titah Seri Paduka.

Majlis Jamuan Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

BERNAMA

Foto Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU