ARTIKEL

Agong zahir harapan hubungan Malaysia-Filipina terus erat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar hubungan erat Malaysia-Filipina akan terus dipertingkatkan demi manfaat bersama rakyat dan kedua-dua negara.

Dalam titah ucapan pada majlis jamuan negara meraikan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan isterinya Louise Araneta-Marcos yang mengadakan lawatan negara ke Malaysia, Al-Sultan Abdullah menganggap Filipina sebagai rakan penting kepada Malaysia, memandangkan kedudukan Filipina berdekatan dan penglibatan aktif dalam ASEAN .

“Dengan aspirasi bersama untuk kemajuan, keamanan dan kemakmuran, kedua-dua negara kita berkongsi banyak persamaan dan hubungan antara rakyat yang erat… sehingga hari ini, kita telah berdepan banyak cabaran yang sama, tetapi kita juga telah mencapai lebih banyak lagi bersama-sama.

“Usaha dan persefahaman bersama adalah penting untuk meningkatkan lagi hubungan erat dan kerjasama baik kita ke tahap baharu…Saya harap Malaysia dan Filipina dapat meningkatkan kerjasama dan perkongsian dalam bidang baharu dan baru muncul seperti pertanian, ekonomi digital, dan industri makanan halal,” titah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir pada majlis yang dihoskan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri kabinet.

Al-Sultan Abdullah bertitah pertukaran lawatan peringkat tinggi dalam kalangan pemimpin kedua-dua negara, dan antara pegawai kedua-dua negara akan terus menyumbang kepada momentum positif dalam memajukan kepentingan bersama dan menangani cabaran bersama.

Seri Paduka bertitah kedua-dua negara mesti terus bekerjasama rapat dalam usaha meningkatkan kestabilan, keselamatan rantau ini serta menjadikan ASEAN sebuah pertubuhan serantau yang dinamik.

“Keamanan dan kemajuan bersama hanya boleh dicapai dan dikekalkan melalui kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia secara keseluruhan.

“Bersama-sama, kita akan terus membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat kita dan generasi akan datang, terutamanya ketika kita bakal meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kita tahun depan,” titah Seri Paduka.

Pada 2022, Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di peringkat dunia dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM41.45 bilion (US$9.42 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021. – BERNAMA 

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

Bejimat pulai ke menua maya pemisi Gawai

KOTA SAMARAHAN: Sepenyampau 66 ketapu pengelikun udah disua ngagai mensia mayuh nyengkaum ketapu pengelikun ungkup nembiak mit ba jalai Palan Bedaja Kaunsil Mengeri Kota Samarahan