ARTIKEL

Agong Zahir Penghargaan Kepada Arab Saudi Berjaya Urus 2 Juta Jemaah Haji

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi, atas persiapan rapi dan kejayaan menguruskan kira-kira 2 juta jemaah bagi musim haji tahun ini.

Titah penghargaan dan terima kasih itu dizahirkan baginda semasa pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman, di Majlis Jamuan Teh Petang yang dianjurkan Putera Mohammed di Mina, pada 29 Jun lalu.

Istana Negara dalam catatan di Facebook juga memaklumkan, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas kesudian menerima 31,000 jemaah dari Malaysia dan kemudian tambahan seramai 1,000 lagi untuk mengerjakan haji tahun ini.

“Seri Paduka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana menaja 300 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian mereka di pelbagai tahap dan bidang pengajian di Arab Saudi,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah juga telah berkenan mempersilakan Putera Mohammed untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia.

 Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat pulang ke tanah air hari ini, selepas selesai menunaikan ibadah haji dan dijangka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, Baginda dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan keafiatan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu dengan lancar.

Baginda turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dikurniakan keafiatan sepanjang berada di Tanah Suci dan selamat pulang ke tanahair kepada pangkuan keluarga tercinta.

“Al-Sultan Abdullah juga mengajak seluruh jemaah haji Malaysia untuk terus bermunajat, memohon keampunan serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara tercinta,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun lalu – BERNAMA

BERITA LAIN

FAHMI KECAM TINDAKAN UGUT, ANCAM KESELAMATAN WARTAWAN

KUCHING: Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau berpendirian bahawa

BERITA TERBARU