Trending

Agrobazaar online kumpul transaksi nilai jualan RM12 juta

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri mengadakan sidang akhbar selepas pelancaran Portal Agrobazaar Online dan Sesi Menandatangani Perjanjian Bersama Razer Merchant Sdn Bhd di sini hari ini. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi portal Agrobazaar Online (ABO) telah berjaya mengumpul transaksi jualan sebanyak RM12 juta sejak portal itu didaftarkan pada 2014 hingga Ogos lepas.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata seramai 8,703 usahawan dan 26,854 unit simpanan stok produk telah didaftarkan di ABO sepanjang tempoh sama.

“Pemerkasaan pemasaran secara dalam talian adalah amat signifikan kerana menyedari akan impak dari pandemik COVID-19, kebanyakan pengguna telah menukar cara berbelanja dengan menggunakan portal e-dagang bagi mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Impaknya kita boleh lihat apabila nilai jualan portal ABO telah meningkat sebanyak 226 peratus iaitu kutipan sebanyak RM1.8 juta sehingga Ogos lepas berbanding tempoh tahun sebelumnya malah jumlah viewer portal itu juga meningkat iaitu kira-kira 1.16 juta tahun ini berbanding hanya lebih 500,000 (viewer) tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran portal ABO 3.0 dan pada majlis itu turut diadakan sesi menandatangani  perjanjian (MoU) antara FAMA dan Razer Merchant Services Sdn Bhd.

Abdul Rashid berkata selain memfokuskan untuk memasarkan menerusi portal ABO, FAMA juga memperluaskan startegi pemasaran produk agromakanan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama portal e-dagang swasta yang lebih terkenal dan mempunyai jumlah pengguna yang tinggi.

Menurut beliau, melalui kerjasama strategik itu pihaknya telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM136 juta.

“Pada hari ini, FAMA bersama Razer Merchant Services Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik pendigitalan di dalam usaha untuk mentransformasi usahawan ke arah pembayaran secara digital atau tanpa tunai.

“Ia juga memberikan fokus terhadap kepelbagaian kaedah pembayaran yang dapat memudahkan pengguna seperti perbankan atas talian, Kad Debit/Kredit dan E-Wallet.Selain itu, pembayaran kepada usahawan dapat dilaksanakan dengan pantas dalam satu sistem yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata langkah kerjasama itu amat diperlukan portal ABO dalam penambahbaikan dari segi perkhidmatan sistem kewangan yang lebih sistematik dan memenuhi kehendak usahawan serta memudahkan urusan pembelian pengguna. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru