Ah Peng, Abu dan Tony duduk semeja minum kopi

MUKAH: Keputusan mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bukanlah isu siapa menang dan siapa kalah, atau bertujuan menghina mana-mana agama tetapi boleh dianggap penghormatan ke atas toleransi agama di Sarawak.

Itu jelas Adun Tellian Yusibnosh Balo berhubung isu kalimah Allah yang perlu dilihat dari sudut positif terutamanya melibatkan perpaduan di Sarawak.

Jelasnya, penduduk di Sarawak saling menghormati antara satu sama lain sejak dahulu lagi seperti sebuah keluarga.

“Malah kita tiada masalah walaupun tinggal serumah atau duduk semeja minum kopi dengan bangsa lain sebab kita menghormati kepercayaan agama masing-masing.

“Sebagai seorang wakil rakyat di kawasan Melanau Kristian di Mukah, saya menegaskan, kalimah Allah digunakan penganut Kristian di sini sejak zaman nenek moyang kami,” katanya kepada Suara Sarawak.

Bagi beliau penggunaan kalimah itu dalam bahasa Melanau Mukah lama digunakan dalam semua upacara sembahyang Kristian.

“Ia juga digunakan dalam upacara sembahyang Misa Hari Minggu, kematian, perkahwinan mahupun upacara lain yang berkaitan.

“Ia turut dihadiri sahabat dan saudara berlainan agama tanpa wujud rasa perbezaan agama,” tegasnya lagi.

Justeru beliau menggesa semua pihak agar terus saling menghormati kepercayaan masing-masing.

“Selain saya juga ahli lembaga amanah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) dan kami tidak pernah membezakan agama orang lain.

“Rakyat Sarawak sangat harmoni dan isu ini tidak menarik minat kami,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak