KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berbeza pendapat dalam proses perolehan vaksin ketika negara dilanda wabak itu pada 2019.
Rata-rata Ahli Parlimen kerajaan mahu proses perolehan lebih telus dilakukan selain menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian vaksin bagi penyakit berjangkit yang lebih jelas untuk menjadi panduan sekiranya negara berdepan situasi penularan wabak seumpama itu pada masa hadapan.
Yeoh Bee Yin (PH-Puchong) berpandangan kelewatan perolehan bekalan vaksin antara kelemahan utama Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan pada Februari 2021.
“Jika kita tengok, perjanjian pertama kerajaan Malaysia dengan Pfizer untuk 12.8 juta dos vaksin ditandatangani hanya pada 27 Nov 2020… malah Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia pada mulanya juga memerlukan 90 hingga 120 hari untuk meluluskan vaksin tersebut.
“Saya mencadangkan supaya ada SOP baharu disediakan daripada pengalaman ini supaya vaksin baharu bagi penyakit berjangkit yang berisiko jadi pandemik boleh diluluskan dengan lebih cepat pada masa akan datang,” katanya pada sesi perbahasan itu.
Senada dengan beliau, RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoal sama ada Malaysia ketika itu berdepan kekangan wang sehingga lewat 60 hari untuk mendapatkan vaksin berbanding negara Asia lain.
Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pula membangkitkan isu jumlah perolehan dan status pemberian vaksin yang didapati tidak seimbang sekali gus menunjukkan wujud pembaziran dana awam malah terdapat laporan mengatakan sebanyak enam juta vaksin luput tanpa digunakan.
“Vaksin tidak terpakai ini melibatkan soal ketelusan, jadi adakah ada pihak sengaja memesan lebihan dos vaksin sehingga wujud ketidakpadanan permintaan dan pembelian vaksin,” katanya yang turut mempersoal trend penerimaan dos penggalak lebih rendah berbanding jumlah yang diunjurkan kerajaan.
Ahli Parlimen pembangkang pula berpendapat kerajaan mengambil masa dalam proses perolehan vaksin kerana berdepan kekangan kewangan selain mengambil kira faktor keberkesanan vaksin baharu.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata ketiadaan prosedur pembelian vaksin tanpa kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara menyumbang kepada kelewatan perolehan pelalian itu.
“Di awal pandemik, tidak ada satupun dapat kelulusan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia)… masih dalam fasa kajian badan-badan farmaseutikal.
“Ini satu risiko sangat besar kerana kita tidak seperti negara lain yang sanggup letak wang berlipat kali ganda untuk vaksin yang belum diketahui keberkesanan dan keselamatannya,” kata beliau.
Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) pula mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap perolehan vaksin dari negara luar dengan meningkatkan pembangunan vaksin dalam negara yang bertaraf antarabangsa sebagai persediaan berdepan kemungkinan berlaku wabak sama pada masa hadapan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni ketika membentangkan kertas putih itu menjelaskan proses perolehan vaksin COVID-19 mulai 2020 hingga 2023 mengambil kira beberapa perkara utama meliputi punca kuasa pelaksanaan perolehan, kaedah perolehan dan pengecualian tatacara perolehan sedia ada.
“Kertas Putih ini antara lain menyentuh perkara utama seperti punca kuasa perolehan vaksin COVID-19, pemantauan jadual penghantaran dan penerimaan vaksin, sistem pengurusan vaksin, kaedah perolehan vaksin dan rumusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.- BERNAMA