BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing terus menunjukkan komitmen dalam usaha memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk menerusi sokongan berterusan program keagamaan dan kemasyarakatan sempena Ramadan.
Sebagai simbol sokongan tersebut, sumbangan kewangan disampaikan kepada Surau Nur Islam yang dikendalikan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Bintulu, semalam.
Penyerahan sumbangan dilakukan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng kepada Pengerusi MACMA Bintulu, Norhayati Abdullah.
Menurut Kong, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Tiong dalam menyokong pelaksanaan program bermanfaat sepanjang Ramadan seperti majlis berbuka puasa, sesi tadarus al-Quran dan ceramah agama.
“Program-program sebegini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan dalam kalangan umat Islam, malah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan silaturahim serta membina jalinan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Bintulu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan ke atas usaha MACMA dan Surau Nur Islam dalam memperkasakan komuniti Muslim Cina serta menjadi contoh teladan dalam mempromosi toleransi dan persefahaman antara kaum.
“Sebagai wakil kepada beliau (Tiong), saya menyampaikan salam Ramadan dan doa beliau agar segala amal ibadah umat Islam pada bulan yang penuh keberkatan ini dipermudah dan diberikan ganjaran yang besar,” katanya.
Sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Tiong dalam menyokong kegiatan komuniti setempat terutama menjelang musim perayaan.






