Ahli Parlimen S’wak tidak mudah dibeli

FLORIDA: Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin ahli-ahli Parlimen Sarawak, terutamanya daripada blok GPS akan membuat keputusan tepat, dan sepakat dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian itu berkata, beliau yakin 18 ahli GPS yang bertemu mata dengan Yang di-Pertuan Agong semalam telah matang (dalam berpolitik) dan tidak mudah dipengaruhi.

“Kemungkinan ada yang akan berusaha untuk menarik ahli-ahli parlimen (GPS) menyokong mereka dan sebagainya.

“Tetapi daripada apa yang dapat saya lihat, wakil-wakil rakyat Sarawak agak matang dan beradab.

“Mereka tidak akan dapat dipengaruhi dengan janji-janji manis dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau berada di sini dalam misi membawa balik tulang prasejarah yang berasal dari Gua Niah ke Sarawak.

Abdul Karim berkata, pendirian GPS berhubung perkara itu amat jelas.

“Kita mahu sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan baharu yang akan menerajui Malaysia agar menghormati dan menghayati apa-apa yang diminta oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Ia merujuk tuntutan MA63 selain royalti minyak dan gas, dan sebagainya.

Sarawak tegasnya, tidak akan terjejas dengan kemelut ini, sebaliknya berpendirian kepentingannya sentiasa diutamakan.

“Apa-apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak menjejaskan (kita) ataupun menyebabkan masalah kepada Sarawak.

“Kerajaan Negeri Sarawak masih lagi berjalan lancar dan tenang di bawah GPS.

“Dan yang penting perhubungan GPS dengan Kerajaan Pusat kelak; sesiapa sahaja yang menerajui Kerajaan Pusat adalah amat penting dalam suasana politik Persekutuan.

Kerajaan GPS Sarawak katanya, mestilah sedikit sebanyak rapat ataupun dapat berhubung baik dengan kerajaan yang baharu itu kelak.

Ia merujuk kumpulan yang akan menerajui Kerajaan Pusat apabila kemelut politik ini berakhir.

*RUDI AFFENDI KHALIK kini berada Florida, Amerika Syarikat

Suara Sarawak