Ahli politik disaran beri tumpuan tangani virus COVID-19 dan pulih ekonomi – Ahli akademik

KUALA LUMPUR: Ahli politik disarankan memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan pandemik COVID-19, serta mempercepatkan pemulihan ekonomi negara pada ketika ini berbanding isu lain, menurut ahli akademik.

Profesor Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, fokus hendaklah pada isu mendesak yang perlu diselesaikan, manakala isu politik lain perlu dikurangkan sehingga keadaan dalam negara kembali stabil.

“Virus COVID-19 ini memberi kesan kepada kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi yang hampir menguncup, dan masalah pengangguran… ini yang mereka (ahli politik) perlu beri tumpuan. Bukan nak menukar kerajaan dan adakan Pilihan Raya Umum (PRU) semula.

“Kerajaan yang memerintah sekarang masih ada tempoh sampai 2023, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan PRU, dengan banyak kekangan disebabkan oleh pandemik COVID-19,” katanya dalam program Suara Profesor Negara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Pasca-COVID-19: Fokus Pemulihan Negara, Elak Berpolitik?’ dengan kerjasama Bernama dan Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Senada dengan saranan tersebut, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, aksi politik yang disifatkan sebagai ‘high politic’ seperti keinginan untuk menjadi Perdana Menteri oleh ahli politik tertentu, perlu dihentikan dulu.

“Kita baru dua tahun adakan PRU dan kerajaan menanggung kos yang menelan sehingga berbilion Ringgit Malaysia. Kalau kita nak adakan PRU lagi sebelum tempoh lima tahun ini, saya percaya lebih banyak wang kerajaan akan habis untuk tujuan ini.

“Situasi dalam politik ini, mana-mana matlamat berpolitik itu adalah untuk mencapai kestabilan negara dalam pelbagai aspek, tetapi adakah dengan mengadakan PRU itu, kestabilan akan berjaya dicapai?,” katanya.

Muhammad Asri berkata, rakyat boleh merasa lega dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah melibatkan kesihatan awam, berikutan penularan virus COVID-19 yang telah ‘melumpuhkan’ beberapa sektor perniagaan.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpendapat, ahli politik memahami situasi yang dialami negara terkini, bagaimanapun mereka tidak menganggap ia bukan masa untuk tidak melakukan apa jua tindakan berpolitik.

“Mereka menganggap politik itu perlu berjalan seperti biasa, dan sebarang peluang yang ada untuk mendapatkan kuasa akan digunakan sebaiknya… itu saya rasa mereka tidak dapat lari dari melibatkan diri dalam politik yang rancak.

“Meskipun tiada undang-undang yang melarang ahli politik berpolitik dalam tempoh krisis ini, namun tidak bolehkah mereka melakukan ‘gencatan berpolitik’ sementara waktu demi memulihkan ekonomi negara?,” katanya.

— BERNAMA

Suara Sarawak