
IGAN: Parlimen Igan menyaksikan penyandangnya Ahmad Johnie Zawawi hadir ke tempat penamaan calon lengkap berbaju Melayu biru, bersama-sama penyokong pada awal pagi Sabtu di Dewan Masyarakat Daro.
Beliau hadir bersama dengan pencadangnya, Hamden Taha dan penyokong Muhamad Al-Faizzy Mohamad sekitar jam 8.30 pagi.
Turut hadir memberi sokongan ialah Adun Daro Safiee Ahmad dan Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.
Pada jam 9.07 pagi, Ahmad Johnie menyerahkan borang pencalonan bersama dengan penyokong dan pencadangnya.
Ahmad Johnie ditentang oleh calon daripada Pakatan Harapan, Andri Zulkarnaen Hamden yang turut hadir ke tempat penamaan calon.
Hadir bersama ialah pencadang beliau Karapawi Suhaili dan penyokong Sapian Bohari.
Pertembungan dua penjuru ini merupakan pertembungan ulangan sebagaimana pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) yang lalu.
Pada PRU-14 tahun 2018 lalu, Ahmad Johnie berjaya merebut kerusi Parlimen Igan dengan undi majoriti 8,495 undi dengan undi yang diperoleh 10,528 menewaskan Andri dengan memperoleh 2,043 undi.



