Ahmad Karnain jaguh karom

MUKAH: Ahmad Karnain Daniel dinobatkan juara Pertandingan Karom Terbuka Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) yang diadakan di Perpustakaan Awam Mukah. Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Erffan Haiqal Mazeri dan Ismail Bujang.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50, RM40 dan RM30. Hadiah pertandingan disampaikan oleh wakil Ketua Seksyen Perpustakaan Awam Mukah Azharina Abdullah.

Ketua Penyelaras Pertandingan Azeri Tahir berkata, pertandingan yang dianjurkan oleh MDDM tersebut disertai 20 orang peserta sekitar Mukah.

Jelasnya, objektif pertandingan tersebut adalah untuk mempromosikan Perpustakaan Awam Mukah dan memperkenalkan semua fungsi perpustakaan kepada masyarakat umum.

“Dalam mengadakan pertandingan ini, kita juga mahu memberi ruang kepada belia untuk beriadah dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.

“Di samping itu, pertandingan ini dapat mencungkil bakat mereka dalam permainan karom,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dia juga berharap para belia akan terus menyertai setiap pertandingan yang dianjurkan pada masa akan datang.

Turut hadir ialah Ketua Seksyen Perpustakaan Awam Mukah Geoffrey Mut Malang, Exco Saberkas Negeri Sarawak Royston Valentine dan Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sarawak, Muhd Tarmizi Karnain Abdah.