KUCHING: Pengemudi baharu Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berazam mahu memastikan kebangkitan dapat dipamer anak-anak buahnya pada baki perlawanan dalam kancah Liga Super 2023.
Katanya, ia meskipun tugas itu amat mencabar dengan mengambil kira kedudukan Kuching City yang berada dalam zon penyingkiran ketika ini.
Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman luas itu percaya barisan pemain yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti Abu Salim mampu merealisasi impian itu.
“Fokus saya ketika ini adalah membina semula keyakinan pemain, ia penting untuk mencapai keputusan positif selepas ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangi kontrak di pejabat Kuching City FC, sebentar tadi.
Menurut Aidil, beliau akan cuba melakukan yang terbaik dan segalanya bermula dari setiap perlawanan yang bakal dilalui.
Katanya, dalam bola sepak kerjasama berpasukan amat penting dan ia akan dituntut sepenuhnya daripada pemain.